Wednesday, September 29, 2010

EKSPRES KASIH


Skrip ke 24

Tajuk Drama: EKSPRES KASIH
Skrip Oleh: Adza Irdawati
Genre: Komedi
Siaran :RTM 2007

SINOPSIS
Cerita ini hanya melibatkan sehari sahaja dalam kehidupan Kulup. Iaitu dari pagi sehari sebelum hari raya hinggalah menjelang tengah malam menjelang syawal.
Kulup lewat 20an bekerja sebagai pemandu bas di syarikat bas Ekspress Kasih. Kulup adalah seorang yang amat pemalu,rendah diri dan terlalu tidak yakin pada diri sendiri. Kulup juga seorang yang kuat berangan.

Di stesen bas tempat dia bekerja, Kulup sering bertemu dengan seorang gadis awal 20an yang ayu dan sangat cantik.Dengan tingkah laku yang sopan dan senyuman yang boleh menghentikan degup jantung sesiapa sahaja yang melihatnya, Kulup menyedari yang dia sudah jatuh cinta. Siasatan demi siasatan dan tidak ketinggalan bantuan rakan rakan, Kulup mengetahui nama gadis idamannya itu ialah Kasih, yang kebetulan pula sama dengan nama syarikat bas tempat dia bekerja. Kulup semakin mempercayai bahawa ini adalah suatu yang dinamakan jodoh. 

Setiap hari Kasih akan pergi ke tempat kerja dengan menaiki bas dan pulang dari kerja dengan menunggu teman lelakinya Ayop di stesen bas itu. Ayop akan menjemputnya dengan sebuah kereta mewah dan menghantarnya pulang. Walaupun Kulup tahu hati Kasih sudah pun dimiliki. Namun dia tidak dapat membuang perasaan cinta yang semakin mekar dalam hatinya. Sebaliknya pula bagi Kasih. Dia langsung tidak sedar akan kewujudan Kulup di stesen bas itu jauh sekali di hatinya. 

Kalau ikutkan hati, mahu sahaja Kulup pergi dan membongkar rahsia Ayop kepada Kasih. Rahsia Ayop yang menipu Kasih itu. Kulup tahu bahawa setelah menghantar Kasih pulang ke rumah setiap hari , Ayop akan kembali semula ke stesen bas itu untuk menjemput isterinya dari kerja bersama tiga orang anaknya dari sekolah. Dan mereka akan bertemu di tepi jalan stesen bas itu juga. Namun Kulup sedar siapalah dirinya untuk memberitahu itu semua pada Kasih dan terus mendiamkan dirinya sahaja. Ada diantara rakan sekerja Kulup yang sudah tamat kerja sedang bersiap siap untuk pulang sambil menceritakan perancangan mereka untuk menyambut hari raya esok. Di stesen bas itu juga kelihtan ramai umat islam yang sedang sibuk membeli belah pada saat saat terakhir untuk menyambut syawal esok. 

Jam ditangan Kulup menunjukkan pukul 8:30 pagi. Mata Kulup liar mencari bayang Kasih. Kesemua rakan sekerjanya sering memperli tindakannya itu. Ini kerana Kulup sanggup ke tempat kerjanya awal pagi setiap hari hanya untuk melihat Kasih pergi dan pulang dari kerja sedangkan syif kerja Kulup bermula pada sebelah petang. Tepat jam 8:45 pagi kelihatan Kasih duduk di tempat duduk di stesen itu. Rakan rakan Kulup menggalakkannya supaya Kulup pergi menegur Kasih namun belum sempat Kulup mengorak langkahnya, Kasih bergegas kearah Ayop yang berhenti di sisi jalan itu bersama kereta mewahnya. Kesemua rakan Kulup mentertawakannya. 

Kulup juga sedang menghadapi masalah di tempat kerjanya. Syarikat bas tempat dia mencari rezeki itu mengalami kerugian yang teruk kerana semakin hari semakin kurang penumpang yang menaiki bas syarikat itu. Ada kalanya Kulup hanya menghantar seorang sahaja penumpang. Pemilik syarikat bas itu nekad ingin menutup dan menjual perniagaannya sekiranya keadaan berterusan begitu. Ini bermakna Kulup akan kehilangan pekerjaannya. Kulup berada dalam dilema. 
Disebuah kampung , tidak jauh dari stesen itu Leha yang sedang sarat mengandung. sedang bertengkar dengan suaminya. Leha menegaskan bahawa dia sudah berjanji pada ibunya untuk merayakan hari raya tahun ini dikampungnya bersama sanak saudaranya. Manakala suami Leha pula menegaskan bahawa dia berjanji pada ibunya bahawa mereka akan merayakan syawal pada tahun ini di kampungnya. Pertengkaran mereka semakin lama semakin hebat. 
Di sebuah klinik/hospital berhampiran pula kelihatan keadaan dalam huru raya. Kesemua jururawat sedang giat bertungkus lumus mencari seseorang. Terdapat seorang lelaki yang hanya memakai seluar pendek dan bersinglet pagoda turut sama dalam pencarian itu. Tidak lama kemudian seorang Doktor dan lengkap berpakaian seragam Doktor keluar dari klinik itu perlahan lahan dan berlalu dari situ.

Kini sudah masuk pukul 5:00 petang. Hati Kulup berdebar apabila terlihat Kasih yang baru pulang dari kerja dan setia menunggu kekasihnya di kerusi di stesen bas itu. Tiba tiba hati kulup bagaikan dirobek apabila Ayop datang menghampiri Kasih. Mereka ingin beredar dari situ. Tetapi belum sempat Mereka pergi Ayop dikejutkan dengan kedatangan isteri dan tiga orang anaknya. Melihat Ayop berpimpinan tangan dengan Kasih, isteri Ayop terus naik angin. Dia terus menampar wajah Kasih dan terus memarahi Kasih di khalayak ramai tanpa menghiraukan maruah Kasih. Kasih terkejut apabila isteri Ayop memberitahu bahawa Ayop sudah mempunyai 3 isteri dan dia adalah isterinya yang ketiga. Dan Ayop sudah mempunyai 9 orang anak. Dan sekiranya Kasih teringin menjadi isteri Ayop yang keempat supaya melangkah mayatnya dulu.

Belum sempat Kasih mempertahankan dirinya dengan memberitahu bahawa dia tidak tahu cerita yang sebenar. Isteri Ayop memberitahu bahawa pasti Ayop akan mengatakan bahawa dia adalah seorang usahawan berjaya namun pada hakikatnya Ayop hanyalah seorang driver kepada ayahnya dan kereta mewah yang dipandu itu adalah milik ayahnya. Dia juga memberitahu bahawa selama ini segala perbelanjaan Ayop dan kedua isterinya serta anak nya yang lain ditanggung oleh keluarganya yang kaya. Dan dia tidak mahu menanggung Kasih pula sekiranya Kasih ingin berkahwin dengan Ayop kelak. Kasih yang merasa malu terus berlalu dari situ. Ayop seperti orang bodoh tidak menghiraukan Kasih terus berlari dan memujuk isterinya yang berlalu dari situ. Sudah pasti dia tidak mahu kehilangan isteri yang menyara hidupnya itu. 

Jam menunjukkan pukul 7:15 petang. Kulup baru selesai berbuka dengan hanya memakan nasi bungkus di dalam bas dan termenung jauh mengenangkan nasib yang menimpa Kasih . Tidak lama kemudian seorang demi seorang penumpang menaiki bas itu. Mereka adalah Leha yang akhirnya bertekad untuk menunaikan janji pada ibunya supaya merayakan hari raya di kampung ibunya. Doktor yang lengkap berpakaian doktor itu menyusul masuk kedalam bas selepas Leha. Leha menyerahkan tiket bas kepada Kulup dan diikuti oleh Doktor. Tetapi sebelum menyerahkan tiket itu. Doktor tercari cari kesemua poket di baju dan uniformnya. Tidak lama kemudian dia teringat sesuatu. Dia mengeluarkan sebuah dompet dari dalam kasutnya. Apabila dia membuka dompet untuk mencari tiket Kulup terlihat kearah kad pengenalan dan hairan. Gambar pada kad pengenalan itu tidak sama dengan wajah Doktor. Tiba tiba dia dikejutkan dengan tiket betul betul di hadapan matanya yang diserahkan oleh Doktor. Kulup tersenyum dan menyuruh mereka duduk. Leha duduk di bahagian tengah begitu juga doktor. Namun sebelum dia duduk dia menutup semua kain tudung tingkap dalam bas itu. Kulup dan Leha hairan dengan gelagat Doktor itu. Doktor terus menyatakan bahawa kulitnya tidak boleh terkena cahaya kerana akan mendapat satu alahan yang teruk . Kulup dan Leha tidak dapat berkata apa apa dan hanya mendiamkan diri melihat keanehan doktor itu. 

Kulup tersenyum hambar melihat hanya 2 orang penumpang sahaja yang menaiki basnya hari itu. Belum sempat Kulup menutup pintu basnya untuk beredar, pintu itu diketuk kuat dari luar. Apabila Kulup membuka pintu itu alangkah terkejutnya Kulup apabila mendapati Kasih masuk dan menyerahkan tiket basnya pada Kulup. Kulup sedar bengkak di mata Kasih pasti pasti berpunca dari tangisan. Kasih yang ingin menenangkan fikirannya dari masalah yang dialaminya mengambil keputusan untuk pulang dan beraya di kampungnya sahaja. Setelah semua tiket bas yang lain habis. Kasih terpaksa membeli tiket bas dari Syarikat Ekspress Kasih yang sememangnya masih banyak itu. Bagai mimpi menjadi nyata. Kedatangan Kasih disambut dengan gembira sekali oleh Kulup. Kini bermulalah perjalanan Bas Ekspress Kasih dari Kuala Lumpur ke Kulim Kedah.

Sejak dari bertolak Kulup seperti tidak dapat duduk senang. Sesekali matanya liar melihat kearah cermin mencari kelibat Kasih namun tidak kelihatan. Kasih membaringkan kerusinya dan ia teru terusan mengalir air mata mengenangkan nasibnya. Manakala Doktor itu liar memandang keluar tingkap sambil senyuman tidak lekang dari bibirnya. Leha pula sedang makan.

Sedang laju bas Ekspress Kasih meluncur di jalan raya tiba tiba Kulup terlihat akan sebuah kereta yang baru terbabas di hadapannya. Kulup memberhentikan bas itu untuk melihat keadaan pemandu kereta itu. Belum sempat Kulup berkata apa apa pemandu itu membuka bonet keretanya dan mengambil sebuah bag dan terus meluru masuk ke dalam bas dan menyatakan hasrat untuk menumpang bas itu. Kulup menyarankan supaya lelaki itu berhenti di balai Polis berdekatan untuk membuat aduan mengenai kemalangan yang dialami oleh lelaki itu namun lelaki itu enggan. Lelaki itu mengenalkan dirinya sebagai Edie dan ingin cepat pulang kerumah kerana kesemua saudaranya sedang menantinya untuk menyambut hari lebaran esok . Dia itu terus memaksa Kulup untuk meneruskan perjalanan. Kasihan mendengar cerita Edie itu, Kulup bersetuju meneruskan perjalanan mereka. 
Setelah beberapa puluh minit berlalu kedengaran suara Doktor itu yang bercakap seorang diri semakin lama semakin kuat. Seperti sedang memberikan ceramah dalam bidang kedoktoran kepada puluhan penuntut. Leha dan Edie hairan melihat kelakuan Doktor itu merenungnya. Menyedari orang sedang melihat kearahnya Doktor itu terus baring dan berpura pura tidur. 

Tidak lama kemudian Kulup terkejut apabila suatu suara yang paling merdu di dunia menyapanya dari belakang. Tidak lain tidak bukan Kasih duduk di kerusi belakang kerusi Kulup. Kasih bertanya berapa lama lagikah mereka akan sampai ke destinasi mereka. Dan tanpa mereka menyedari pertanyaan itu terus bertukar ke arah perbualan topik topik yang lebih menarik. Dan hinggalah ke topik yang lebih sensitif seperti isu mengenai hati dan perasaan. Kulup memberi banyak nasihat kepada Kasih mengenai cara menangani masalahnya itu. Kasih menyedari bahawa Kulup adalah seorang lelaki yang amat baik hati dan amat berlainan dari lelaki yang lain. Kasih menyatakan yang dia hairan kerana dia langsung tidak menyedari akan kewujudan Kulup di stesen bas yang dikunjunginya setiap hari hampir enam bulan itu. Kulup pula menyembunyikan kebenaran bahawa dia sering menunggu kehadiran Kasih di stesen bas itu selama enam bulan itu, dan juga perasaannya pada Kasih. 

Tidak lama kemudian kerancakkan perbualan mereka diganggu suatu jeritan. Tidak lama mereka menyedari bahawa jeritan itu datang dari Leha yang sedang sakit untuk melahirkan anaknya. Kulup terus memberhentikan basnya .Dalam keadaan panik itu. Kulup menggerakkan Doktor yang sedang tidur itu untuk membantu Leha melahirkan anaknya. Doktor itu seperti orang bodoh dan membuat pemeriksaan yang lucu ke atas Leha yang tiada kena mengena dengan kelahiran. Leha terus menjerit memberitahu Kulup supaya meneruskan perjalanannya ke Kulim secepat mungkin ini kerana dia tidak mahu mungkir janji pada ibunya dan akan cuba bertahan sehingga sampai di rumah ibunya untuk berraya. Kasih cuba menenangkan Leha sambil Doktor masih membuat pemeriksaan yang lucu dan aneh ke atas Leha. 

Kulup dengan panik cuba memandu basnya untuk sampai ke destinasi mereka dengan laju. Manakala Edie cuba menutup telinganya daripada mendengar bunyi jeritan Leha menahan kesakitannya.Jeritan Leha semakin lama semakin kuat . Ini membuatkan Kulup nekad untuk membawa bas itu lebih laju. Tidak lama kemudian kedengaran bunyi siren Polis di belakang bas itu. Tidak lama kemudian kelihatan sebuah kereta peronda Polis menahan bas itu. Kulup terpaksa memberhentikan bas itu dan membenarkan 2 orang anggota Polis masuk ke dalam bas itu. Edie yang kelihatan cemas terus berlari ke tempat duduk belakang dan bersembunyi. Setelah menceritakan keadaan yang Leha. Pihak Polis memberitahu bahawa Kulim hanya 5 minit dari situ dan mereka sedia mengeskod bas itu sehingga ke destinasinya. Kulup menarik nafas lega. 

Kini kereta Polis peronda berada di hadapan bas itu dan melancarkan dan mempercepatkan lagi perjalanan mereka. Edie yang cemas menghampiri Kulup dan memaksa Kulup untuk berhenti dan menurunkannya di sisi jalan sekarang juga. Namun Kulup enggan kerana dia ingin menghantar Leha ke rumah ibunya dulu. Dalam keadaan marah. Edie kemudian mengeluarkan sepucuk pistol dari bagnya dan mengacukan pada Kulup supaya memberhentikan bas itu. Kasih , Doktor dan Leha panik melihat keadaan itu. Namun tanpa disedari oleh Edie, Kulup memberanikan diri dengan menepis kearah tangan Edie yang memegang pistol itu hingga menyebabkan pistol jatuh ke tangga bas. Belum sempat Edie tunduk dan mengambil pistol itu, Kulup membelok sedikit basnya itu sehingga menyebabkan kepala Edie terhantuk ke pintu bas dan pengsan. Kasih kagum melihat keberanian Kulup itu. 

Dengan mengikut arah dari Leha bas itu kini berhenti betul betul dihalaman rumah ibu Leha. Leha tidak tertahan lagi dan terus menjerit dengan kuat. Doktor itu juga kemudian menjerit dengan kuat. Kulup bertanya kenapa Doktor tidak cuba untuk membantu Leha melahirkan anaknya. Doktor itu menyatakan dia hanya seorang doktor gigi dan tidak mengambil bidang perbidanan. Kulup kemudian memberanikan diri dan menghampiri Leha. Dia menyatakan supaya Leha jangan bimbang dan dia akan membidankan Leha. Kulup menyatakan bahawa dia pernah 2 kali membantu ayahnya di ladang melahirkan anak lembu. Mahu tidak mahu Leha terpaksa merelakan bantuan Kulup itu.

Dari luar bas itu kedengaran suara tangisan bayi bersama alunan takbir raya dari surau berdekatan. Kesemua ahli keluarga Leha berdiri di luar bas itu. Dengan perlahan lahan pintu bas terbuka. Kelihatan Edie yang masih pengsan jatuh tergolek di tanah. Bag yang dipegangnya turut jatuh lalu terbuka . Kelihatan banyak wang kertas jatuh bertaburan dan berterbangan di halaman rumah itu. Pihak Polis yang melihatnya terus melihat kearah gambar yang disimpan dalam poket mereka dan mendapati wajah orang yang dikehendaki adalah sama dengan wajah Edie. Mereka terus menggari Edie dan memasukkan dalam kereta Polis.
Tidak lama kemudian kelihatan Kulup turun dari tangga bas dengan memapah Leha keluar dari bas itu. Ahli keluarga mereka mendapatkan Leha dari Kulup. Diikuti oleh Kasih yang memegang bayi yang dibalut dengan baju sejuknya. Tiba tiba suami Leha sampai dengan kereta bersama ibunya. Mereka terus mendapat Leha dan anak yang baru dilahirkannya. Suami Leha meminta maaf kerana tidak mahu mengikut Leha pulang beraya di kampung . Mereka semua bermaaf maafan dan berbaik semula. Semua gembira sambil mencium anggota baru keluarga mereka itu. Semua mereka berterima kasih kepada Kulup kerana membantu Leha melahirkan bayi itu. Kulup hanya tersenyum sambil matanya menjeling kearah Kasih yang membalas senyumannya itu. 

Kulup kemudian dihampiri oleh 2 orang anggota Polis tadi. Mereka terus mengucapkan syabas kepada Kulup kerana berjaya menangkap penjenayah yang paling dikehendaki kerana kes rompak , samun dan banyak lagi. Mereka juga menyatakan terdapat hadiah ganjaran yang lumayan kepada sesiapa yang berjaya menumpaskan penjenayah itu. Kulup tersenyum gembira. 

Tidak lama kemudian kelihatan Doktor keluar sambil tersenyum lebar.Tiba tiba mereka terkejut apabila melihat sebuah ambulans masuk ke dalam halaman rumah ibu Leha. Kelihatan beberapa orang jururawat dan lelaki yang berpakaian seluar pendek dan bersinglet di Klinik sebelum ini mendapatkan Doktor. Tanpa berlengah lengah lagi mereka menyatakan bahawa Doktor itu sebenarnya adalah seorang pesakit mental yang berjaya melarikan diri dari klinik/ hospital mereka. Dia berjaya melarikan diri dengan mencuri pakaian Doktor dan menyamar sebagai Doktor untuk melepaskan dirinya.Barulah Kulup menyedari bahawa gambar pada kad pengenalan yang dilihat olehnya tadi dari dompet pesakit mental itu seiras dengan wajah lelaki yang bersinglet pagoda itu. Pastinya pesakit mental itu telah terambil dompet semasa ia mengambil uniform Doktor yang sebenar dan pastinya pesakit mental itu menggunakan duit lelaki itu untuk membeli tiket. Akhirnya semua jururawat dan Doktor yang sebenar itu berterima kasih pada Kulup dan membawa pesakit mental itu pergi dari situ. 

Jam menunjukkan tepat pukul 12:00 malam. Kulup memberhentikan basnya dihadapan rumah Kasih. Sebelum Kasih turun dari bas dia sempat mengucapkan Selamat Hari raya pada Kulup dan begitu juga dengan Kulup. Kasih bertanya dimana Kulup akan menyambut hari raya . Kulup menyatakan bahawa dia akan beraya dia atas bas sahaja ini kerana kampungnya jauh di Johor. Setelah berfikir seketika Kasih menjemputnya beraya bersama ahli keluarganya. Tidak lama kemudian kedatangan mereka dijemput oleh  semua sanak saudara Kasih.
Setahun berlalu Kasih kini telah sah bergelar isteri. Isteri kepada Kulup dan Syarikat bas Ekspress Kasih dimiliki oleh Kulup . Pemilik syarikat bas itu menjual syarikat itu dengan harga yang murah kepada Kulup. Dan Kulup membeli syarikat itu dengan hasil ganjaran yang diterimanya dari pihak Polis. Pemilik itu menjual syarikat itu kerana dia menyangka syarikat itu akan bankrup dan menjual dengan harga yang rendah pada Kulup. Namun tanggapannya itu meleset. Ini kerana syarikat itu bertambah berkembang dan maju kerana Kulup yang telah dianggakat sebagai seorang wira oleh rakyat Malaysia berjaya menarik ramai penumpang menaiki bas syarikatnya itu. 

Walaupun bergelar seorang usahawan berjaya, Kulup masih seperti dulu. Dia tetap membawa bas walaupun mempunyai banyak pekerja yang bekerja dibawahnya. Kekayaan dan kejayaan tidak mengubah sikap Kulup yang pemalu dan rendah diri itu.Pada suatu hari Kulup menaiki bas untuk memulakan perjalanannya. Belum sempat Kulup bertolak Kasih berlari kearahnya untuk menghantar bekal makanan padanya. Mereka berdua naik ke atas bas itu. Kelihatan seorang lelaki berpakaian Doktor, seorang wanita sarat mengandung dan seorang lelaki yang wajahnya sedikit seperti samseng yang memegang erat bag di tangannya sedang duduk di tempat masing. Mereka semua tersenyum lebar kepada Kulup dan Kasih. Kulup dan Kasih berpandangan sesama mereka. Tidak lama kemudian kedengaran dari jauh dan dari luar bas suara jeritan Kulup dan Kasih...

No comments: